AMALAN yang menghidupkan Ramadan ialah memperbanyakkan
sedekah kerana sikap bermurah hati pada Ramadan adalah dituntut. Ibn Abbas
melaporkan: "Rasulullah adalah orang yang paling dermawan dan beliau
lebih dermawan lagi pada Ramadan ketika Jibril menemuinya lalu membacakan
padanya al-Quran." (Hadis riwayat Bukhari)
Membaca al-Quran
Disunatkan memperbanyakkan bacaan al-Quran pada bulan
Ramadan kerana ia bulan al-Quran seperti firman Allah yang bermaksud: "...
bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian
manusia dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan)
perbezaan antara yang benar dengan yang salah." (Surah al-Baqarah, ayat
185)
Malaikat Jibril sentiasa bertadarus al-Quran dengan Nabi SAW
setiap hari sepanjang Ramadan. Para salaf mendahulukan bacaan al-Quran daripada
ibadah lain. Sebahagian salaf khatam al-Quran dalam masa tiga hari, sebahagiannya
tujuh hari dan 10 hari pada Ramadan.
Saidina Uthman bin Affan khatam al-Quran setiap hari pada
Ramadan. Imam Zuhri berkata apabila tiba Ramadan, "Sesungguhnya Ramadan
itu bulan membaca al-Quran dan menyediakan makanan untuk orang berpuasa."
Memberikan makan kepada orang yang berbuka puasa.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang
memberikan makan kepada orang yang berpuasa, maka baginya seperti pahala (orang
yang berpuasa) dalam keadaan tidak berkurung sedikitpun dari pahala orang yang
berpuasa itu." (Hadis riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibn Majah dan ad-Darimi)
Qiamullail
Disunatkan berjaga malam secara berjemaah pada bulan Ramadan
iaitu solat terawih dan waktunya di antara solat Isyak hinggalah terbitnya
fajar. Nabi sangat gemar mendirikan malam pada bulan Ramadan.
Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Sesiapa
menghidupkan Ramadan dengan keimanan dan pengharapan pahala daripada Allah
Taala, maka akan diampunkan segala dosanya yang terdahulu."
(Hadis riwayat Bukhari)
Solat tarawih
Solat tarawih adalah solat khusus yang hanya dilakukan pada
Ramadan. Solat tarawih, walaupun dapat dilaksanakan bersendirian, umumnya
dilakukan secara berjemaah di masjid. Di sesetengah tempat, sebelum solat
tarawih, diadakan ceramah singkat bagi menasihati jemaah.
Mengerjakan umrah
Perkara disunatkan pada Ramadan adalah mengerjakan umrah
berdasarkan sabda Baginda SAW yang bermaksud: "Umrah pada Ramadan
(pahalanya) sama dengan (pahala) mengerjakan haji atau mengerjakan haji
bersamaku." (Hadis riwayat Bukhari)
Zakat fitrah
Zakat fitrah dikeluarkan khusus pada Ramadan
atau paling lambat sebelum selesainya solat sunat hari raya. Setiap Individu
Muslim yang berkemampuan wajib membayar zakat fitrah. Nilai zakat fitrah adalah
satu gantang makanan ruji atau setara dengan 2.7 kilogram beras
Tidak ada komentar:
Posting Komentar